Saluran khas filem Melayu di Youtube

Ketua Pegawai Eksekutif MIG Productions, David Teo telah bekerjasama dengan pengendali laman sesawang YouTube, Google, bagi memperkenalkan saluran khusus untuk semua filem Melayu bermula penghujung Januari 2013.

Dipetik dari Berita Harian, saluran khas ini akan memperkenalkan filem Melayu dari Malaysia dengan lebih meluas di peringkat antarabangsa dan turut memberi ruang kepada penerbit filem tempatan yang lain untuk mendaftar filem mereka dengan MIG untuk dimuat naik.

"Kami sudah menandatangani perjanjian kerjasama dengan Google yang berpangkalan di Amerika Syarikat untuk membuka saluran filem Melayu di YouTube, malah menerusinya juga ia membuka ruang untuk apa saja program berkaitan filem, drama atau hiburan dalam bahasa Melayu ditonton seluruh dunia," ujar David Teo yang turut memberitahu visual akan dipaparkan dengan sari kata bahasa Inggeris.

Tambahnya lagi, usaha untuk mempromosikan filem tempatan ke pentas antarabangsa perlu diadakan secara agresif menerusi laman sosial kerana penggunaan media baru seperti internet dan sebagainya mampu membawa filem dari Malaysia untuk pengetahuan masyarakat di luar sana terutama sekali peminat filem.

Menerusi penyediaan dua saluran yang diwujudkan iaitu Metrowealthpictures dan MIG Online, keuntungan akan dikongsi bersama pihak MIG bersama YouTube melalui hasil pendapatan iklan.

Sementara itu, David Teo turut memberitahu pihak mereka mempunyai hak perlesenan untuk menghalang mana-mana filem Melayu yang dimasukkan dalam blog atau laman web yang dimuatkan dalam YouTube. "Google akan memberi kami kod laluan untuk menyekat filem Melayu yang tidak dimuat naik dalam saluran kami.

"Namun jika ada peminat atau pihak tertentu yang ingin berkongsi treler filem atau sedutan babak tertentu, ia dibenarkan asalkan bukan keseluruhan atau sebahagian besar tayangan filem tersebut."

Pada masa yang sama, David Teo turut memberitahu bahawa MIG juga akan bekerjasama dengan iTunes yang akan menjadi ejen rujukan semua filem terbitan Malaysia. "Kami juga akan bekerjasama dengan iTunes yang dikendalikan oleh Apple untuk menjadi ejen rujukan semua filem terbitan Malaysia. Usaha ini bererti kami adalah pengedar tunggal filem Melayu di iTunes.

"Ia akan dimulakan dengan semua filem keluaran MIG terlebih dahulu. Harga langganan filem akan ditentukan mengikut kadar mata wang utama dalam Dolar Amerika," jelasnya lagi.





0 comments:

Catat Ulasan

Setiap ulasan pengguna admin tidak akan bertanggung jawab.

Best viewed with Firefox

Creative Commons License
Dimensi Siber oleh Shafuan Kechik Hakcipta terpelihara, Dibawah Lesen akta Creative Commons .