Sistem Operasi (OS) ialah nadi utama kepada peranti tidak kiralah telefon pintar atau tablet. Secara mudahnya OS ialah perisian yang beroperasi sebagai ‘orang tengah’ antara telefon pintar dan setiap perkakasan dan aplikasi dengan tugasan menyusun, mengurus, serta menggabungkan pelbagai program-program berbeza-beza bagi membolehkan telefon pintar berfungsi dengan baik dan lancar.

Sebagai contoh, untuk komputer anda OS yang digunakan adalah Windows, Linux, Mac dan sebagainya. Begitu juga dengan telefon pintar. Ia turut memiliki OS mudah alih sendiri yang patut dijadikan salah satu penandaarasan ketika pembelian. Satu masalah besar jika anda pengguna telefon pintar tetapi tidak ketahui apa OS. Jika itu terjadi, ternyatalah ‘kepintaran’ telefon pintar anda bakal mengatasi anda sedikit masa lagi.

Jadi, sebagai seorang pengguna yang bijak, adalah wajar untuk anda pilih OS mana terbaik untuk kegunaan anda. Apakah kriteria dan ciri-ciri yang perlu diberikan perhatian ?

1) Kegunaan seharian

Setiap telefon pintar dikatakan ‘pintar’ jika ia mampu bekerja setiap masa untuk anda. Dan, untuk bekerja setiap daripadanya memerlukan sambungan internet. Jadi, anda perlu menilai daripada segi kemampuan dan kegunaan seharian anda kerana ada OS yang menawarkan kepada anda kelebihan yang tiada di OS lain.

Contohnya, jika anda seorang yang memerlukan sokongan e-mel sepanjang masa, RIM dengan BlackBerry OS menawarkan perkhidmatan tersebut kepada anda dan turut menyasarkan pengguna di kalangan korporat. Begitu juga dengan OS yang lain.

2) Versi terkini

Setiap OS memiliki kemas kini secara rawak dalam sesuatu tempoh masa. Jika anda sudah memilih OS yang dirasakan sesuai dengan kemampuan dan kegunaan seharian anda, pilih pula versi terkininya. Contohnya, jika anda memilih untuk membeli telefon pintar Android yang menggunakan Android versi 2.3 Gingerbread, ia belum tentu lagi akan dikemas kini ke versi terbaru 4.1 Jelly Bean kerana kemas kini bagi sesetengah telefon pintar Android bergantung pada pengeluarnya.

Jadi langkah selamat, selidik dahulu apakah versi terkini. Sekurang-kurangnya, anda kekal selamat dan masih boleh menikmati kelebihan versi tersebut bagi tempoh sehingga beberapa tahun akan datang.

3) Mesra pengguna

Adakah anda pengguna telefon pintar yang mahir dan sentiasa mengambil berat dengan keadaan teknologi semasa? Atau anda ingin memiliki telefon pintar kerana ingin mengikut trend? Anda perlu jujur dengan diri anda kerana telefon pintar anda sekali lagi tidak terserlah ‘kepintarannya’ jika anda tidak tahu menggunakan atau mengaplikasikan kelebihan yang ada pada OS. Tidak dinafikan, kesemua OS adalah mesra pengguna, tetapi, kadang kala sesetengah orang terlalu sukar memahami tetapan atau arahan yang perlu diikuti untuk sesuatu fungsi.

Bagi yang amatur dan kali pertama, anda boleh pilih OS yang sudah sinonim atau tidak terlalu kompleks untuk anda mahir sebelum memilih menggunakan OS lain. Contohnya, seperti iOS, jika anda sudah sinonim dengan barangan Apple seperti Mac atau iPod, sudah tentu pilihan tepat adalah iPhone. Kerana ia sudah sinonim dengan anda.

Jadi untuk itu, di sini kami sediakan sedikit maklumat berkenaan OS arus perdana yang boleh anda jadikan rujukan dan buat perbandingan sebelum membeli. Bijak membeli, menang memakai.


1) iOS dari Apple Inc

Apple memiliki falsafah yang tersendiri dengan meletakkan kesemua kebolehan OS, iOS dalam satu jenis telefon pintar iPhone. Kini yang terbaru telah mengeluarkan versi iOS 6. Sangat teliti dalam setiap perubahan kemas kini pada iOS, Apple lebih cenderung untuk melakukan perubahan yang sangat minimum berkaitan antara muka pengguna serta pilihan perkakasan setiap kali versi terbaru dilepaskan.

Sering kali juga dikritik disebabkan terlalu ‘kedekut’ dengan penggunanya, iOS masih kekal salah satu antara OS yang terbaik di samping beberapa aplikasi inovatif yang agak berbaloi. Menggunakan mekanisme sumber tertutup, iOS memiliki nilai eksklusifnya yang tersendiri di samping memiliki kelebihan dengan perisian pihak ketiga, iTunes yang menawarkan pelbagai aplikasi, hiburan dan permainan untuk kesemua penggunanya.

2) BlackBerry dari Reserach In Motion (RIM)

Penggunaannya dikhabarkan mulai diketepikan daripada arus perdana, BlackBerry OS dilihat masih lagi kukuh di persada dunia korporat. Dilihat sebagai platform OS yang kukuh dengan pendirian, telefon pintar BlackBerry dengan kekunci QWERT itu sendiri memiliki auranya yang tersendiri.

Fokus kepada komunikasi e-mel dan medium sosial yang dipermudahkan penggunaannya, ia juga diperakui memiliki sistem keselamatan yang agak tinggi berikutan untuk mendapatkan kepercayaan penggunanya berkaitan data-data penting. Bakal tiba dengan versi terbarunya BlackBerry 10, BlackBerry dilihat sebagai OS sumber tertutup yang akan kembali mendaki ke puncak seperti di suatu masa dahulu.

3) Android dari Google

Satu-satunya OS dengan sumber terbuka yang kini berada di tangga teratas di arus perdana, Android memiliki ciri-ciri mesra pengguna serta sesuai untuk kesemua golongan masyarakat. Semua pengguna bebas untuk memuat turun aplikasi di Google Play, menambah aplikasi, serta sentiasa menerima pandangan penggunanya dengan perubahan yang sangat-sangat drastik setiap kali versi terbaru dilancarkan.

Selain itu, OS Android ini juga boleh digunakan di puluhan peranti yang meliputi pelbagai model termasuklah Samsung, Motorola, HTC, Sony, dan banyak lagi. Ini mempunyai pelbagai reka bentuk, dengan pelbagai saiz skrin dan resolusi, dengan tanpa kekunci fizikal dan sebagainya. Kebolehan prestasinya juga turut berkembang dengan mempunyai pelbagai fungsi-fungsi padanya tiada di OS lain. Meringkaskannya lagi, ia menjadi sangat mudah untuk dikendalikan oleh sesiapa sahaja.

4) Windows Phone dari Microsoft Corporation

Windows ialah suatu jenama yang sangat sinonim dengan komputer, tetapi, OS ini dilihat masih mencuba untuk menjadi yang terbaik melalui platform mudah alih. Windows Phone 8 dilihat turut memiliki ‘X-Faktor’ yang mampu menarik lebih ramai lagi pengguna.

Kebelakangan ini ramai yang berbicara berkenaan antara muka pengguna metronya yang sangat menarik dan fleksibel, Windows Phone bakal menjadi salah satu OS mudah alih terbaik jika apa yang dirancang berjalan lancar. Strategi Microsoft juga dilihat menjadi dengan kolaborasi dengan vendor terkemuka dunia membuatkan jenama itu kini kian kompetitif di arena. Jadi, adakah ia bakal menjadi OS pilihan anda nanti?

Kesimpulan yang dapat dibuat adalah, pemilihan OS untuk telefon pintar anda sebenarnya bergantung pada ciri-ciri yang anda perlukan. Ingat, pengguna yang pintar mampu memanfaatkan penggunaan OS pada telefon pintarnya untuk menjadi kombinasi yang sangat memudahkan hari ini.

**Firefox OS dari Mozilla akan hadir pada 2013 kelak.