Rompakan Siber Bank Malaysia RM134.44 juta


New York: Sekumpulan penjenayah siber menggodam sistem komputer 27 negara, termasuk Malaysia sebanyak dua kali dan berjaya merompak AS$45 juta (RM134.44 juta).

Mereka menggodam syarikat pemprosesan kad kredit di negara terbabit sebelum mengeluarkan wang tunai daripada mesin juruwang automatik (ATM), kata pendakwa raya Amerika Syarikat (AS), kelmarin.

Jabatan Kehakiman AS menuduh lapan lelaki membentuk kumpulan itu dan tujuh daripada mereka sudah ditahan.

Lelaki kelapan dan ketua mereka, Alberto Yusi Lajud-Pena, juga dikenali dengan nama gelaran Prime dan Albertico dilaporkan dibunuh di Republik Dominica pada 27 April lalu.

Ketua kumpulan itu dipercayai berada di luar AS, namun pendakwa raya enggan memberi lebih banyak maklumat.

Selain Malaysia, negara yang menjadi mangsa perompak siber itu, termasuk Belgium, Bulgaria, Kanada, Colombia, Republik Dominica, Mesir, Estonia, Perancis, Jerman, Britain, Indonesia, Itali, Jepun, Latvia, Mexico, Belanda, Pakistan, Romania, Russia, Afrika Selatan, Sepanyol, Sri Lanka, Ukraine, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan AS.

Kumpulan itu pantas bertindak. Dalam satu serangan, dalam tempoh 10 jam, AS$40 juta (RM119.50 juta) diambil daripada ATM di 24 negara membabitkan 36,000 transaksi.

Mereka hanya guna komputer riba dan internet, kata pendakwa, Loretta Lynch dalam sidang media.

Bergerak sepantas data di internet, organisasi itu menggunakan sistem komputer syarikat antarabangsa sehingga di New York.


Jenayah siber ancaman besar bank

Cara rompakan itu terkenal di kalangan penjenayah sebagai operasi tiada had yang dilakukan pada 22 Disember tahun lalu dan pada 19 Februari lalu.

Kes itu menunjukkan jenayah siber adalah ancaman besar ke atas bank di seluruh dunia. Ia juga menunjukkan bagaimana canggihnya operasi penjenayah antarabangsa, terutama menggunakan internet.

Berdasarkan aduan, kumpulan itu menceroboh komputer dua syarikat pemproses kad kredit, satu di India pada Disember lalu dan satu lagi di AS Februari lalu. Syarikat terbabit bagaimanapun tidak dinamakan.
REUTERS/AGENSI 





1 comments:

Setiap ulasan pengguna admin tidak akan bertanggung jawab.

Best viewed with Firefox

Creative Commons License
Dimensi Siber oleh Shafuan Kechik Hakcipta terpelihara, Dibawah Lesen akta Creative Commons .