Malaysia Negara ke 6 Paling Berisiko Serangan Malware


Malaysia berada dalam kedudukan negara keenam di dunia paling berisiko terdedah kepada kadar pendedahan ancaman (TER) ,iaitu peratusan komputer peribadi yang mengalami serangan malware, sama ada berjaya atau gagal, dalam tempoh tiga bulan kebelakangan.

Laporan tersebut telah dikeluarkan oleh firma pemaju keselamatan teknologi maklumat (IT), Sophos, berdasarkan pendedahan terhadap ancaman malware, bukannya berkenaan ancaman siber.

Mengulas perkara tersebut, Pengerusi CyberSecurity Malaysia, Tan Sri Mohd. Azumi Mohamed bagaimanapun berkata, ancaman malware juga merupakan sebahagian daripada cabaran keselamatan siber masa kini.

"Serangan serta evolusi malware memberi gambaran tentang keadaan landskap ancaman siber pada masa hadapan yang sudah tentu akan sentiasa berubah," katanya.

Jelasnya, cabaran sebegini menggalakkan pihak CyberSecurity Malaysia untuk terus berinovasi dalam pendekatan serta usaha memperkasakan keselamatan siber

Menyedari kepentingan mempunyai persekitaran siber yang berdaya tahan dan selamat, kerajaan turut merancang beberapa pendekatan keselamatan siber yang sedang dilaksanakan.

Antara pendekatan yang dilaksanakan ialah Dasar Keselamatan Siber Negara (NCSP) bertujuan untuk membangunkan dan mewujudkan program yang komprehensif yang memastikan keberkesanan kawalan keselamatan siber ke atas prasarana maklumat kritikal Negara.

"Di peringkat strategik, kerajaan telah menyediakan NCSP yang memberi tumpuan terhadap peningkatan daya tahan Prasarana Maklumat Kritikal Negara kita (CNII) bagi menangani ancaman siber, dan pada masa yang sama memaksimumkan manfaat ekonomi digital negara dan serantau.

"Kemudian, di peringkat industri atau komersial, kami menggalakkan kerjasama kerajaan-swasta seperti mengadakan kerjasama dengan Microsoft Corp. dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dengan objektif utama untuk mengurangkan peratusan komputer peribadi (PC) di Malaysia yang mengalami serangan malware dengan mendidik pengeluar PC dan pengguna,"katanya.

Selain itu, langkah menguatkuasakan undang-undang ke atas peruncit dan peniaga yang menipu pengguna dengan menjual PC dengan perisian cetak rompak yang dijangkiti malware juga penting bagi membendung ancaman malware.

Ini kerana, perisian cetak rompak adalah salah satu punca jangkitan malware dan juga digunakan sebagai agen penyebaran jangkitan masalah tersebut .

Jelas Mohd. Azumi, pihaknya turut melaksanakan program mendidik dan membina kesedaran masyarakat melalui program Cyber Security Awareness For Everyone atau CyberSAFE.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Dr. Amirudin Abdul Wahab berkata, pihaknya tidak mempunyai akta khas untuk melaksanakan penguatkuasaan berhubung kegiatan jenayah siber.

Jelasnya, CyberSecurity hanya mempunyai kepakaran bagi membantu kerajaan mengesan atau memantau aktiviti alam siber.

"Tugas kita (CyberSecurity) adalah membantu pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung jenayah siber.

"Kami tidak mempunyai sebarang akta untuk penguatkuasaan," katanya ketika s memberi taklimat sempena lawatan wakil media ke agensi tersebut, baru-baru ini .

Menurut beliau, pihaknya bertindak berdasarkan laporan yang diterima daripada pengadu berhubung jenayah siber.

Beliau berkata, laporan itu diterima daripada pihak polis atau SKMM mahupun menerusi talian Cyber999 milik CyberSecurity.

Dr Amirudin berkata, pihaknya sudah menerima sebanyak 46,000 kes sejak 1997 sehingga Ogos 2013 yang membabitkan jenayah siber dengan kes penipuan, pencerobohan akaun pengguna siber dan selebihnya lain-lain kes.

Beliau percaya masih ramai lagi pengguna siber yang menjadi mangsa tetapi enggan tampil untuk membuat laporan.

Jumlah tertinggi yang dilaporkan pada 2011 sebanyak 15,218 kes berbanding 2012 iaitu 9,986 manakala 2013 sebanyak 7,753 kes yang dilaporkan.

Ditanya mengenai jumlah laporan yang tidak stabil, beliau menjelaskan ia bergantung kepada bilangan laporan diterima daripada pihak berwajib seperti polis, SKMM dan agensi keselamatan siber itu.

"Mungkin apabila masyarakat telah mempunyai kesedaran mengenai keselamatan siber ini maka ramai akan tampil membuat laporan," katanya.

CyberSecurity Malaysia merupakan pusat pakar keselamatan siber kebangsaan yang bertanggungjawab membantu memantau dan menghalang kegiatan jenayah siber di negara ini di bawah kawal selia Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Sepanjang lawatan itu juga, media diberi taklimat mengenai fungsi dan peranan CyberSecurity Malaysia, isu serta cabaran di alam siber yang dihadapi warga digital di Malaysia.

Pada majlis tersebut agensi terbabit mengumumkan akan memperkenalkan Anugerah Media CyberSecurity Malaysia yang penilaiannya bermula 1 Oktober lalu sehingga tahun hadapan.

Sumber © Utusan Melayu (M) Bhd 





0 comments:

Catat Ulasan

Setiap ulasan pengguna admin tidak akan bertanggung jawab.

Best viewed with Firefox

Creative Commons License
Dimensi Siber oleh Shafuan Kechik Hakcipta terpelihara, Dibawah Lesen akta Creative Commons .