Animasi Puteri Hadir 20 November 2014 - Sinopsis


Siri animasi Puteri dari Les' Copaque Production ini telahpun dilancarkan secara rasmi di Media Prima dan bakal disiarkan di TV3 pada jam 9 malam bermula pada 20 November nanti. Dari segi teknologi animasi ia lebih cantik dari animasi Upin dan Ipin.

** kemas kini:-  Episod pertama animasi Puteri akan ditayangkan pada 20 Nov 2014, jam 9 malam di TV3.


Sinopsis Animasi Puteri (Kisah Animasi Puteri)
Siri animasi Puteri mengisahkan kehidupan lima orang puteri di Kerajaan Limau. Manis yang rupawan dan bersuara merdu. Kasturi yang berjiwa pahlawan. Purut yang pemalu. Bali yang penyayang serta Nipis yang nakal bersama kucingnya Jebat. Kelima-lima puteri ini mempunyai keistimewaan yang harus digunakan bersama bagi menjaga keamanan dan kestabilan Kerajaan Limau dari serangan kerajaan luar, raksasa dan kuasa sihir.


Puteri Manis
Anak sulung daripada lima beradik. Berusia 18 tahun dan merupakan pewaris takhta Kerajaan Limau. Mempunyai rupa paras menawan dan suara merdu yang mampu memukau sesiapa sahaja yang mendengarnya. Berkebolehan berkomunikasi dengan binatang dan mempunyai selendang sakti yang sering dipakai di pinggangnya.

Puteri Kasturi
Puteri kedua berusia 17 tahun. Kasturi bersifat kasar dan mempunyai ciri-ciri pahlawan. Tidak suka dengan “etika puteri” dan lebih gemar meluangkan masa dengan berlatih berlawan. Mempunyai pedang sakti yang berkuasa hebat.

Puteri Purut
Berusia 15 tahun dan bersifat pemalu. Tidak selesa bercakap atau berada di khalayak ramai kerana parut pada wajahnya yang disembunyikan di sebalik rambut. Namun, Purut sangat bijak dan mempunyai pengetahuan luas terutamanya berkaitan ubat-ubatan. Sering membuat uji kaji menggunakan tumbuhan di taman herbanya. Memakai cucuk sanggul sakti yang mempunyai kuasa penyembuh.

Puteri Bali
Merupakan puteri keempat berusia 14 tahun bertubuh gempal berbanding adik-beradiknya. Oleh kerana itu, dia agak sensitif dengan topik berat badan. Merupakan seorang tukang masak yang handal, walaupun makanannya kelihatan tidak menarik pada luaran tetapi rasanya pasti sedap. Mempunyai kipas sakti yang boleh berubah saiz dan fungsi.

Puteri Nipis
Berusia 10 tahun dan merupakan puteri bongsu. Penampilannya kelihatan manja dan naïf. Namun, Nipis sebenarnya merupakan penyiasat yang hebat dan mengetahui semua selok-belok di dalam istana. Sering ditemani oleh kucing peliharaannya yang bernama Jebat. Berpewatakan selamba dan bersifat degil. Nipis mempunyai reben sakti yang sering digunakan sebagai permainannya.



0 comments:

Catat Ulasan

Setiap ulasan pengguna admin tidak akan bertanggung jawab.

Best viewed with Firefox

Creative Commons License
Dimensi Siber oleh Shafuan Kechik Hakcipta terpelihara, Dibawah Lesen akta Creative Commons .