Kad Debit/Kredit PayWave Adakah Ia Selamat?


Bank Negara Malaysia (BNM) ingin memberi maklum balas berkenaan video yang menunjukkan kemungkinan orang tertentu melakukan ‘electronic pick-pocketing’ terhadap individu yang memiliki kad tanpa sentuhan (contactless cards) yang telah disebarkan melalui media sosial baru-baru ini.

Kad tanpa sentuhan yang dilengkapi ciri-ciri keselamatan terkini merupakan instrumen pembayaran yang amat selamat. Walaupun video tersebut menunjukkan bahawa butiran seperti nombor dan tarikh luput kad mungkin diperoleh dengan menggunakan alat pengimbas, pemegang kad tetap terlindung daripada unsur penipuan kerana:

• Cip dalam setiap kad tanpa sentuhan dilengkapi ciri keselamatan kriptografi canggih yang berkemampuan menjana kod dinamik yang unik bagi setiap transaksi. Ciri keselamatan ini lantas menjadikan kad tanpa sentuhan hampir mustahil untuk diklonkan atau dipalsukan; dan

• Malaysia menerima pakai kaedah pengesahan bayaran yang lebih kukuh bagi transaksi kad dalam talian. Untuk menjamin keselamatan setiap transaksi, pemegang kad dikehendaki memasukkan kod pengesahan transaksi (‘transaction authorisation code’,TAC) yang dihantar melalui telefon mudah alih atau peranti keselamatan pemegang kad. Sekiranya butiran kad disalah guna untuk melakukan transaksi di laman sesawang luar negara yang belum melaksanakan kaedah pengesahan yang kukuh, pemegang kad Malaysia tetap dilindungi melalui peraturan perubahan liabiliti (liability shift) yang diperkenalkan oleh rangkaian kad antarabangsa dengan peniaga luar negara dikehendaki menanggung liabiliti transaksi penipuan tersebut.

Keselamatan kedua-dua kad pembayaran dan PIN adalah tanggungjawab pemegang kad. Pemegang kad haruslah memaklumkan kepada pihak bank dengan kadar segera, sekiranya kad pembayaran mereka hilang atau dicuri, atau nombor PIN terdedah, atau terdapat urus niaga tidak dibenarkan menggunakan kad mereka.

0 comments:

Catat Ulasan

Setiap ulasan pengguna admin tidak akan bertanggung jawab.

Best viewed with Firefox

Creative Commons License
Dimensi Siber oleh Shafuan Kechik Hakcipta terpelihara, Dibawah Lesen akta Creative Commons .